USUL FIQH

Ulama mantakrifkan ilmu Usul Fiqh sebagai ilmu tentang kaedah-kaedah yang membolehkan untuk mengistinbatkan Hukum-hukum Syarak yang amali (praktis) daripada dalil-dalil yang Tafsiliyy. Oleh yang demikian, ilmu Usul Fiqh adalah ilmu yang mengkaji kaedah-kaedah umum (kulliy) bagi mengeluarkan hukum-hukum daripada dalil-dalil Tafsiliyy, al-Quran dan Hadis-hadis Nabi. Hukum-hukum yang dimaksudkan hanyalah hukum amali (perbuatan) dan bukan persoalan akidah.

Jelas di sini, bidang penumpuan ilmu Usul Fiqh berlegar di sekitar dalil-dalil (sumber hukum), metod-metod istinbat (kaedah-kaedah ilmu usul), dan hukum-hukum yang dihasilkan daripada metod istinbat dan dalil-dalil tersebut.

Antara faedah yang diperolehi dengan mempelajari ilmu Usul Fiqh adalah menjaga Syariah Islamiah. Ini kerana ilmu Usul Fiqh memelihara dalil-dalil pensyariatan daripada disalahguna oleh orang ramai. Sebagaimana ia juga turut menjaga hujah-hujah dan juga sandaran bagi hukum-hakam. Selain itu, dapat menyusun secara tepat usul-usul pendalilan. Dengan menjelaskan dalil-dalil yang sahih dari al-Quran dan membezakan dalil-dalil Sunnah yang sahih dengan yang daif.

Seterusnya, memudahkan proses ijtihad serta memberikan hukum yang bersesuaian bagi setiap kejadian semasa yang berlaku. Di samping itu, membantu memberikan penjelasan tentang cara menghimpunkan di antara dalil-dalil yang dilihat terdapat percanggahan di antara satu sama lain pada zahirnya.

Ulama Usul Fiqh telah membahagikan sumber-sumber Usul Fiqh kepada dua iaitu sumber-sumber hukum yang disepakati dan sumber-sumber hukum yang tidak disepakati. Antara sumber yang disepakati adalah al-Quran, Hadis, Ijma dan Qiyas.  Manakala sumber yang tidak disepakati adalah Al-istihsan, Al-Maslahah al-Mursalah dan Sadd al-Zaraai. Sumber-sumber ini berperanan penting dalam penentuan hukum syarak. Namun, para mujtahid mempunyai justifikasi tersendiri dalam menentukan sumber-sumber yang kukuh sebagai usul mazhabnya.

Menelusuri perkembangan ilmu Usul Fiqh, ia telah bermula dengan kisah dialog antara Rasulullah SAW dengan Muaz Ibn Jabal perutusan beliau di Yaman. Namun pada waktu ini Usul Fiqh tidak dikenali sebagai satu nama yang khusus. Selepas kewafatan Rasulullah SAW Islam telah tersebar secara meluas. Banyak negeri-negeri baru yang telah dibuka di bawah pemerintahan Islam. Perkembangan ini menyebabkan para sahabat dan tabiin menghadapi permasalahan-permasalahan baru.

Maka dari kalangan para sahabat, ada yang berkemampuan untuk berijtihad seperti Khalifah Ali bin Abi Talib, Saidina Abdullah bin Mas’ud serta Khalifah Umar bin al-Khattab. Sungguhpun begitu, dalam satu-satu keadaan ada di kalangan sahabat yang tidak mengetahui beberapa fatwa  serta hukum yang telah pun diputuskan oleh Rasulullah SAW sementara sebahagian yang lain pula mengetahuinya lalu meriwayatkan perkara berkenaan.  Secara umumnya, tiga sumber tambahan dalam pembinaan Hukum Syarak telah dikenalpasti pada ketika itu seperti Fatwa Sahabat, Qiyas dan Ijmak. Kesinambungan terhadap sumber di atas menatijahkan dua aliran dalam struktur pembinaan Hukum Syarak iaitu aliran Madrasah Ahlu al-Hadith dan aliran Madrasah Ahlu al-Ra’yi.

Melihat kepada perkembangan ini, maka Imam Syafie menerokai satu ilmu yang diistilahkan dengan Usul Fiqh bagi menyusun dan menjelaskan prinsip serta disiplin bagi seorang mujtahid mengistinbatkan hukum daripada nas. Melalui kitabnya “al-Risalah”, beliau memasukkan dan memuatkan ayat al-Quran dan keterangan hukum, al-Sunnah dan kedudukannya. Beliau juga menyentuh tentang suruhan dan tegahan yang membawa hukum wajib dan haram kecuali jika terdapat qarinah (penunjuk) yang meringankan hukum itu. Ia juga membicarakan tentang persoalan Nasakh Hukum, al-Ijma’, al-Qiyas dan kehujahan Khabar Ahad.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top