HIBAH

HIBAH

Makna: suatu akad yang mengandungi pemberian milik oleh seseorang secara sukarela terhadap hartanya kepada seseorang yang lain pada masa hidupnya tanpa balasan.

DALIL PENSYARIATAN HIBAH

AL-QURAN

فَإِن طِبْنَ لَكُمْ عَن شَيْءٍ مِّنْهُ نَفْسًا فَكُلُوهُ هَنِيئًا مَّرِيئًا

Yang bermaksud: “Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian daripada maskahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya.”

                                                                                          (Surah al-Nisa’: 4)

HADIS

تَهَادُوا تَحَابُّوا

Yang bermaksud: “Saling memberi hadiahlah kamu nescaya kamu akan saling sayang-menyayangi.”                                  

(Riwayat Al-Bukhari)

RUKUN:

  1. Pemberi hibah
  2. Penerima hibah
  3. Barang yang dihibahkan
  4. Sighah

SYARAT PEMBERI HIBAH:

  1. Pemilik kepada barangan
  2. Mempunyai kelayakan untuk memberi hibah
  3. Mempunyai kuasa penuh untuk menggunakan hartanya

SYARAT PENERIMA HIBAH:

  1. Berkelayakan menerima hibah termasuklah yang bukan mukallaf seperti kanak-kanak. Namun, penjaga atau pemegang Amanah boleh dilantik bagi pihak mereka.
  2. Penerima hibah wujud ketika hibah dibuat
  3. Boleh menguasai harta yang dihibahkan

SYARAT BARANG YANG DIHIBAH

  1. Wujud Ketika hibah dibuat
  2. Barangan tersebut mestillah barangan yang bernilai
  3. Mestillah daripada hak milik pemberi hibah

SYARAT AKAD HIBAH

  1. Ijab dan qabul
  2. Tidak bertempoh

JENIS-JENIS HIBAH

  1. Hibah Mutlak

Hibah mutlak adalah pemberian harta melalui hibah yang dibuat serta merta.

  • Hibah Amanah

Hibah Amanah adalah menggunakan khidmat pemegang Amanah yang dilantik sebagai pemegang kuasa seperti orang perseorangan, badan berkanun atau institusi sehinggalah penghibah bersedia menyediakan hibah atau meninggal dunia.

  • Hibah Bersyarat

Hibah Bersyarat adalah pemberi hibah mensyaratkan pemindahan harta kepada penerima hibah hanya akan berlaku setelah beliau meninggal dunia.

PENERIMAAN BARANG (AL-QABD) DALAM HIBAH

Al-Qabd bermaksud mendapat sesuatu, menguasainya dan boleh melakukan tasarruf terhadap barang atau harta tersebut. Qabd merupakan keperluan kepada hibah itu berkuatkuasa dan penerima hibah melakukan tasarruf. Dalam Mazhab Syafie, al-qabd merupakan syarat luzum, iaitu akad hibah tidak sempurna dan tidak berkuat kuasa dengan ijab dan qabul semata-mata, kecuali selepas al-qabd. Sekiranya al-qabd tidak berlaku maka akad hibah merupakan akad yang tidak mengikat. Oleh itu, pemberi hibah berhak menarik balik hibah tersebut selama mana harta berkenaan berada dalam pemilikannya.

HIBAH SEMASA MARAD AL-MAUT

Marad al- maut adalah keadaan di mana pemberi hibah sedang sakit tenat atau sakit yang membawa kepada kematian, maka hibahnya tidak boleh melebihi daripada satu pertiga hartanya dan tidak boleh dihibahkan kepada ahli waris. Ini bermakna hukum wasiat terpakai. Sekiranya diberikan kepada ahli waris sama ada kurang dari satu pertiga atau lebih maka ia tertakluk kepada keizinan atau persetujuan daripada waris yang lain.

PEMBATALAN HIBAH

Hukum asal hibah adalah memberi implikasi pemilikan kepada penerima hibah. Oleh itu, pembatalan hibah adalah tidak boleh dilakukan. Namun, para fuqaha’ memberikan pengecualian iaitu dengan mengharuskan pembatalan hibah daripada seorang bapa, ibu, datuk atau nenek kepada anak atau cucunya.

KADAR HARTA YANG BOLEH DIHIBAH

Hukum Syarak memberikan kebebasan kepada pemilik harta untuk melakukan pemberian tanpa terikat kepada kadar tertentu. Dan menurut ijmak, adalah harus bagi pemilik harta yang waras fikrannya menghibahkan keseluruhan hartanya.

APLIKASI HIBAH DI MALAYSIA

Di Malaysia tiada peruntukan khusus tentang undang-undang hibah yang dikanunkan. Setakat yang ada hanyalah peruntukan yang menjelaskan tentang bidang kuasa Mahkamah Syariah tentangnya termasuk dalam Senarai II Jadual Kesembilan Senarai Negeri Perlembagaan Persekutuan.

Di dalam peruntukan tersebut ia menunjukkan bahawa hibah ialah sebahagian daripada perkara negeri yang diletakkan di bawah pentadbiran agama Islam di setiap negeri dan sekaligus ia terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah. Sehubungan dengan itu, Seksyen 46(2)(b)(v dan (vi) Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan 1993 memperuntukkan:

Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah —

(b) dalam bidang kuasa malnya, mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding dalam mana semua pihak adalah orang Islam dan yang berhubungan dengan —

(v) wasiat atau alang semasa marad-al-maut seseorang si mati Islam;

(vi) alang semasa hidup, atau penyelesaian yang dibuat tanpa balasan yang memadai dengan      wang atau nilaian wang, oleh seseorang Islam;

Penggunaan perkataan “alang” semasa marad al-maut dan “penyelesaian yang dibuat tanpa balasan” adalah merujuk kepada hibah atau pemberian. Daripada peruntukan tersebut didapati pelaksanaan hibah dalam undang-undang di Malaysia bukan Sahaja semasa pemebri hibah hidup ], malah hibah semasa marad al-maut juga diperuntukkan.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top