Apakah itu Nusyuz?

Dari sudut bahasa nusyuz adalah mengangkat dan pertelagahan. Dari sudut istilah pula nusyuz adalah penolakan taat pasangan suami isteri terhadap satu sama lain dalam menunaikan hak. Mustafa al-Bugha dan Mustafa al-Khin mentakrifkan nusyuz sebagai keingkaran isteri terhadap suami dengan tidak mentaatinya seperti yang telah diwajibkan oleh Allah. Allah SWT menjelaskan dalam surah al-Nisa’ ayat 34 berkaitan langkah-langkah yang perlu diambil oleh suami sekiranya isteri nusyuz dengan firmanNya yang bermaksud:

“Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhak (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur dan (kalua juga mereka masih degil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar.”

Di dalam Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 peruntukkan nusyuz hanya disebut dalam Bahgian VI, iaitu Nafkah Isteri, Anak-anak dan Liain-lain di bawah perkara Kuasa Mahkamah untuk Memerintahkan Nafkah bagi Isteri dan Kesan Nusyuz, iaitu seksyen 60(2) dan 60(3). Kandungan kedua-dua seksyen tersebut adalah seperti berikut :-

 60(2) Tertakluk kepada Hukum Syarak dan pengesahan Mahkamah, seseorang isteri tidaklah berhak mendapat nafkah apabila dia nusyuz atau enggan dengan tidak berpatutan menurut kemahuan atau perintah sah suaminya, iaitu, antara lain-

  • Apabila dia menjauhkan dirinya dari suaminya;
  • Apabila dia meninggalkan rumah suaminya bertentangan dengan kemahuan suaminya; atau
  • Apabila dia enggan berpindah Bersama suaminya ke satu rumah atau tempat lain,

Tanpa apa-apa sebab yang sah mengikut Hukum Syarak.

(3) Selepas sahaja isteri itu bertaubat dan menurut kemahuan dan perintah sah suaminya, maka isteri itu tidaklah lagi menjadi nusyuz.

Daripada peruntukan ini dapat difahami bahawa persoalan nusyuz tidak disebut secara berasingan melalui suatu peruntukan yang khusus dalam Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003. Sebaliknya, persoalan nusyuz hanya disebut di bawah perkara berkaitan nafkah. Oleh yang demikian, wujud kekaburan dan kesamaran pada peruntukan ini untuk tujuan pensabitan nusyuz seorang isteri.

Jika dibuat perbandingan, kesemua perbuatan yang disenaraikan ini adalah menepati dengan yang disenaraikan oleh para fuqaha. Ini menunjukkan bahawa penentuan perbuatan-perbuatan isteri yang boleh disabitkan sebagai nusyuz dalam Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 adalah selari dengan pendapat para fuqaha. Menurut Tuan Mohd Esham bin Abdul Samad, Hakim Syarie Mahkamah Rendah Syariah Ipoh, di samping peruntukan dalam enakmen serta pandangan fuqaha, pihak hakim akan menggunakan budi bicara yang berlandaskan rujukan hukum syarak dalam mentafsirkan perbuatan-perbuatan lain yang boleh dikira sebagai nusyuz.

Untuk membawa kes nusyuz isteri ke muka pengadilan, terdapat dua Langkah yang boleh diambil oleh pihak suami, iaitu sama ada terus membuat tuntutan di Mahkamah Syariah atau pun membuat dakwaan melalui Bahagian Pendakwaan Jabatan Agama Islam. Tuntutan nusyuz yang dibuat terus di Mahkamah Syariah akan membawa implikasi isteri hanya akan dinafikan hak nafkahnya sahaja jika sabit nusyuz, manakala dakwaan nusyuz yang dibuat melalui Bahagian Pendakwaan Jabatan Agama Islam akan membawa implikasi isteri turut dikenakan denda jika sabit nusyuz.

Apabila pihak mahkamah telah mendaftarkan kes tersebut, pihak mahkamah akan memanggil kedua-dua pihak, iaitu suami dan isteri untuk mendengar keterangan kedua-dua pihak. Apabila kesemua proses telah dilalui, mahkamah akan meneliti sedalam-dalamnya segala keterangan, bukti dan butiran fakta yang ada. Setelah berpuas hati dan tiada sebarang keraguan yang boleh dipertikaikan, maka keputusan untuk mensabitkan nusyuz ke atas seseorang isteri itu akan dibuat.

Bagi tuntutan sabitan nusyuz yang difailkan dengan alas an isteri meninggalkan rumah tanpa izin atau isteri enggan mentaati suami, pihak mahkamah terlebih dahulu akan mengeluarkan perintah kembali taat dalam sesuatu tempoh masa yang sesuai kepada pihak isteri. Jika tempoh masa yang diberikan oleh pihak mahkamah telah berakhir tetapi isteri masih tidak menuruti perintah mahkamah itu, maka barulah mahkamah mengisytiharkan atau mensabitkan isteri itu nusyuz.

Berdasarkan Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, perintah untuk isteri kembali taat kepada suami tidak diperuntukkan. Walau bagaimanapun, dari segi amalan di mahkamah, kebiasaanya hakim akan menggunakan budi bicaranya dengan mengeluarkan perintah kembali taat kepada pihak isteri terlebih dahulu sebelum keputusan pengisytiharan nusyuz dibuat.

Antara contoh kes nusyuz adalah Kasim bin Abdul Ghani lwn Juhana binti Tajudin, di mana Plaintif dan Defendan bernikah pada 26 Ogos 1988 dan mempunyai seorang anak. Pada 25 Julai 2006 Defendan telah lari dari rumah dan sehingga kini Defendan tidak dapat dikesan. Defendan pernah menghubungi Plaintif melalui telefon dan Plaintif telah memujuk Defendan agar pulang tetapi Defendan enggan. Oleh yang demikian, Plaintif telah memohon kepada mahkamah suatu perintah agar Defendan balik dan kembali taat. Jika Defendan enggan Plaintif memohon mahkamah mengisytiharkan Defendan nusyuz.

Setelah meneliti kes ini, mahkamah membenarkan permohonan Plaintif, iaitu Defendan diperintahkan untuk kembali taat kepada Plaintif dalam tempoh 14 hari dari Tarikh perintah itu dikeluarkan dan jika tempoh tersebut telah tamat, maka Defendan akan diisytiharkan nusyuz.

 Seterusnya, di dalam kes Fauzy Omar Basheer bin Othman lwn Sarah Nur binti Shamsuddin Plaintif dan Defendan telah bernikah pada 2 Ogos 2002 dan dikurniakan seorang anak. Plaintif merupakan seorang jurutera Petronas dan dihantar bertugas di Austria pada Januari 2006. Plaintif pergi ke sana bersama Defendan dan anak mereka. Pada Jun 2006, Defendan telah pulang ke Malaysia bersama anak mereka kerana Defendan akan memulakan tugas sebagai doktor. Plaintif tidak bersetuju dengan tindakan tersebut tetapi atas desakan keluarga Defendan maka Defendan tetap meneruskan. Situasi kehidupan mereka yang tinggal berjauhan ini menyebabkan Plaintif mengambil keputusan untuk pulang ke Malaysia setiap lapan minggu sekali dan setiap kali pulang, Plaintif akan berada selama dua minggu untuk bersama-sama dengan Defendan dan anak mereka.

Selepas beberapa lama Plaintif dan Defendan tinggal berjauhan, Plaintif mendapat tahu bahawa Defendan ada membuat hubungan dengan lelaki lain yang juga merupakan seorang doktor di hospital tempat Defendan bertugas. Apabila diminta penjelasan oleh Plaintif, Defendan mengakui akan perkara tersebut. Selepas itu, Plaintif dan Defendan pernah mendapat khidmat kaunseling di Pejabat Agama Islam dan hasilnya Defendan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu. Walau bagaimanapun, Defendan telah memungkiri janjinya apabila Defendan masih meneruskan hubungan dengan doktor lelaki tersebut. Oleh yang demikian, Plaintif telah memohon kepada mahkamah agar mensabitkan nusyuz ke atas Defendan. Mahkamah telah mensabitkan nusyuz ke atas Defendan mengikut Seksyen 60(2) Enakmen Keluarga Islam Perak 2004 dan mahkamah memutuskan hak nafkah dan tanggungjawab Plaintif terhadap Defendan gugur.

Raja Mohamad Haziq

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top