Pengenalan
Big World, Peace Train, dan bagi peminat kumpulan Raihan, nasyid Talaal Badru, Yusuf Islam adalah nama besar dalam industri muzik antarabangsa. Beliau yang pernah sebaris dengan Jimi Hendrix, The Beatles, Janis Joplin, dan yang seangkatan dengannya dalam muzik rock dan folk, tidak perlu diperkenalkan lagi. Kisah beliau memeluk Islam pasti meniti di bibir-bibir masyarakat, terutama masyarakat Islam, apabila melihat rock star ini berserban, memakai kurta, dan berjambang berselirat ala jejaka Afghan.
Permulaan Perjalanan Keislaman
Pengalaman Hampir Lemas di Pantai Malibu
Kisah beliau masuk Islam tatkala lemas di pantai Malibu, California, selalu diceritakan. Ibu saya turut menceritakan kisah itu kepada saya. Ceritanya begini: Suatu hari Cat Stevens sedang bermandi-manda di pantai tersebut. Ketika itu, tidak ada orang lain di sekitar. Sewaktu berenang, beliau hampir lemas dan terkapai-kapai mencari sesuatu untuk dipaut. Cat Stevens merasakan masa hampir tiba. Beliau menyebut di dalam hati, “Wahai Tuhan, sekiranya kau selamatkan aku kali ini, aku akan berusaha untuk Engkau”. Shahadan, sebuah ombak kecil datang dan menolak beliau ke pantai, dan beliau selamat.